TOY STORY 5 Review: Nostalgia, Persahabatan dan Pertarungan Menentang Era Digital

Studio animasi Pixar kembali membawa pengembaraan terbaharu menerusi Toy Story 5, yang dijadualkan ditayangkan di pawagam Malaysia mulai 17 Jun 2026. Filem ini menyaksikan Woody, Buzz Lightyear, Jessie dan barisan mainan kegemaran peminat berdepan cabaran yang amat dekat dengan kehidupan kanak-kanak masa kini. Apakah cabaran tersebut?
Jika dalam filem-filem terdahulu kumpulan mainan ini terpaksa berdepan pengumpul tamak, mainan jahat dan krisis identiti apabila pemilik mereka semakin dewasa, kali ini Toy Story 5 memperkenalkan ancaman eksistensial baharu yang sangat nyata: gajet.
Kehidupan tenang Woody (Tom Hanks), Buzz Lightyear (Tim Allen), Jessie (Joan Cusack) dan rakan-rakan mereka kembali terganggu. Kedudukan mereka sebagai teman bermain utama kini dicabar oleh kehadiran Lilypad (Greta Lee), sebuah tablet pintar canggih milik Bonnie (Scarlett Spears). Kehadiran peranti tersebut mengubah segalanya apabila Bonnie dan kanak-kanak lain lebih gemar menghabiskan masa menatap skrin bercahaya berbanding menggunakan imaginasi mereka untuk bermain dengan mainan fizikal.
Persoalannya, mampukah Woody, Buzz dan rakan-rakan mereka menyedarkan Bonnie tentang keajaiban bermain di dunia sebenar, atau adakah ini permulaan penghujung era mainan tradisional?
Pada pandangan penulis, Toy Story 5 membuktikan bahawa walaupun pencapaian luar biasa Toy Story 3 sukar ditandingi, kesinambungan kisahnya masih mampu diteruskan secara semula jadi dan meyakinkan. Malah, tidak banyak francais filem yang berjaya mengekalkan kualiti penceritaan sehingga ke filem kelima. Boleh dikatakan, filem ini melengkapkan perjalanan watak-watak mainan yang kita cintai, sekali gus menyempurnakan perkembangan mereka sebagai karakter yang hidup dalam dunia mereka dan di hati penonton.
Gandingan pengarah McKenna Harris dan Andrew Stanton turut mewarisi kekuatan Pixar dalam menyampaikan emosi melalui penceritaan visual. Tanpa memerlukan dialog yang panjang, hanya dengan memperlihatkan watak-watak mainan berdiri bersebelahan sambil tersenyum dan saling bertukar pandangan, pelbagai emosi berjaya disampaikan dengan berkesan.
Penonton juga boleh dimaafkan jika sesekali terlupa bahawa mereka sedang menonton sebuah filem animasi. Segala-galanya kelihatan begitu nyata, selari dengan pendekatan siri Toy Story yang menggambarkan dunia para mainan sebagai miniatur kepada dunia manusia. Unsur humornya yang berpaksikan keunikan pelbagai watak turut kekal segar, khususnya melalui pengenalan beberapa karakter baharu yang mencuri perhatian.
Toy Story 3 mungkin sudah menjadi penutup kepada satu fasa penting dalam kehidupan Woody dan rakan-rakannya. Namun secara mengejutkan, Toy Story 5 berjaya menambah dimensi baharu dengan memperkenalkan jalan cerita yang segar dalam hubungan persahabatan yang telah lama terjalin antara watak-watak siri ini.
Selain itu, sekuel kelima ini turut berjaya membangkitkan pelbagai emosi, daripada rasa rindu dan nostalgia, kepada debaran, gelak tawa dan juga kesedihan yang menyentuh hati. Persahabatan Woody dan rakan-rakannya yang telah menemani penonton sejak tahun 1995 sekali lagi berjaya membuat penulis mengalirkan air mata. Dan sejujurnya, penulis tidak akan jemu untuk menonton filem ini berulang kali jika diberi kesempatan.












