Terkubur Dalam Kegelapan: Lee Cronin’s The Mummy Bangkit Sebagai Horor Paling Menggila Tahun Ini!

Selepas berjaya mencuri perhatian ramai menerusi Evil Dead Rise, pengarah dan penulis Lee Cronin kini kembali dengan naskhah seram terbaharunya, Lee Cronin’s The Mummy. Filem ini dikatakan membawa gabungan aura Poltergeist dan Se7en — satu gabungan yang pelik, tapi sangat menarik perhatian.
Kisah bermula apabila seorang budak perempuan bernama Katie muncul semula selepas hilang selama lapan tahun di padang pasir. Kepulangan Katie pada awalnya disambut penuh emosi oleh keluarganya yang menyangka mereka sudah kehilangan anak itu buat selamanya.
Namun kegembiraan tersebut tak bertahan lama. Sedikit demi sedikit, Katie mula menunjukkan perangai yang ganjil. Pandangannya kosong, sikapnya dingin, dan reaksinya terhadap sekeliling cukup meresahkan. Keluarganya mula sedar bahawa “Katie” yang pulang itu mungkin bukan anak mereka yang sebenar.
Premis begini memang bukan benda baru dalam genre seram. Tapi kelebihan filem ini adalah cara ia mengelak jalan cerita klise seperti ritual halau hantu atau exorcism. Sebaliknya, filem ini lebih fokus kepada ketegangan emosi dalam keluarga tersebut dan ancaman yang makin membesar dalam rumah mereka sendiri.
Dari segi pengarahan, Lee Cronin bijak membina suasana cemas berbanding sekadar bergantung pada jumpscare murah. Ada jumpscare yang datang mengejut, tetapi tidak semestinya disusuli dengan penampakan hantu seperti kebiasaan filem seram lain. Itu menjadikan penonton sentiasa rasa tak selesa dan berjaga-jaga.
Bahagian gore pula antara yang paling menjadi sebutan. Babak-babak ngeri dipersembahkan dengan brutal, menyakitkan, dan cukup kreatif. Kamera close-up banyak digunakan, menjadikan setiap luka, darah dan ekspresi menyeramkan terasa lebih ngilu serta menjijikkan.
Ditambah pula dengan rekaan bunyi yang mantap, skor muzik yang mendebarkan, serta gerakan kamera dinamik, suasana dalam rumah itu terasa seperti neraka yang sedang menelan semua orang di dalamnya.
Secara keseluruhan, Lee Cronin’s The Mummy layak dianggap antara calon filem seram terbaik tahun ini. Dengan gabungan ketegangan yang padu, visual gore yang puas hati dan atmosfera yang menyesakkan dada, filem ini memang wajib masuk senarai tontonan peminat genre horror minggu ini.












