Babak Baharu dalam Marvel Cinematic Universe Menerusi Filem 'Thunderbolts*'
Filem terbaharu daripada Marvel Studios yang telah dinanti-nantikan oleh para peminat, Thunderbolts, mula ditayangkan di pawagam hari ini (30/4) di seluruh Malaysia. Diarahkan oleh Jake Schreier (Beef, Robot and Frank), filem ini membuka babak baharu dalam Marvel Cinematic Universe (MCU).
Thunderbolts mengisahkan sekumpulan anti-hero MCU — Yelena Belova (Florence Pugh), Bucky Barnes (Sebastian Stan), Red Guardian (David Harbour), Ghost (Hannah John-Kamen), Taskmaster (Olga Kurylenko), dan John Walker (Wyatt Russell) — yang terlibat dalam sebuah misi berbahaya yang dirancang oleh Valentina Allegra de Fontaine (Julia Louis-Dreyfus). Dipaksa untuk berdepan dengan masa lalu yang gelap dan belajar mempercayai satu sama lain, mereka mesti bergabung tenaga menghadapi ancaman besar atau berdepan kehancuran.
Thunderbolts pertama kali diperkenalkan dalam komik Marvel pada tahun 1997, dan kini secara rasmi menjadi sebahagian daripada Marvel Cinematic Universe, yang bermula sejak pelancaran Iron Man pada tahun 2008 dan kini telah berkembang kepada 35 buah filem setakat ini. Walaupun kisah Thunderbolts masih baharu dalam sejarah komik Marvel, Marvel Studios melihat ini sebagai masa yang sesuai untuk membawa kumpulan unik ini ke layar perak.
Thunderbolts akan memperluaskan semesta MCU, memperkenalkan watak-watak yang telah muncul dalam filem dan siri seperti Captain America: Civil War, Black Widow, Ant-Man and the Wasp: Quantumania, serta The Falcon and the Winter Soldier. Buat pertama kalinya, penonton akan dibawa menyelami sisi emosi dan perjalanan psikologi beberapa watak paling kompleks dalam MCU.
Penerbit eksekutif Brian Chapek mendedahkan, “Sungguh menggembirakan dapat memperkenalkan sebuah pasukan baharu dalam MCU. Mereka adalah watak-watak yang sering dipandang remeh, namun kini kembali dengan cara yang mengejutkan dan penuh makna.”
Dengan nada yang lebih gelap, Thunderbolts tampil sebagai sebuah kisah yang lebih realistik namun kompleks dalam dunia MCU. Ketika kumpulan wira tidak terduga ini terpaksa berhadapan dengan kesilapan masa lalu, mereka mula belajar untuk bergantung antara satu sama lain dalam menghadapi kuasa gelap — baik dari luar mahupun dari dalam diri mereka sendiri — demi menyelamatkan dunia. Tambahan pula, buat kali pertama, para peminat di seluruh dunia akan menyelami dengan lebih mendalam sisi psikologi dan motivasi watak-watak yang sering dipandang sebagai penjahat dalam usaha mereka mencari jati diri dan menjawab persoalan sama ada mereka layak menjadi lebih daripada sekadar antagonis.
Chapek turut menambah bahawa inti Thunderbolts adalah perjalanan yang sangat manusiawi, “Inti filem ini adalah tentang bagaimana setiap insan berdepan ujian dalam hidupnya dan menyelami diri untuk menghadapi trauma masa lalu.”
Selain mengetengahkan naratif dan tema yang unik, Thunderbolts memperkenalkan pendekatan produksi yang berbeza daripada filem-filem MCU sebelumnya. Jika sebelum ini banyak bergantung kepada kesan visual, filem ini memberi penekanan kepada penggunaan set praktikal bagi mencipta suasana realisme yang lebih mendalam. Kebanyakan babak difilemkan di set sebenar, termasuk set OXE Vault 360 darjah yang menjadi latar untuk salah satu adegan penting, serta replika jalan East 45th Street di New York.
Beberapa adegan juga dirakam di lokasi sebenar, termasuk kawasan gurun di selatan Utah, Amerika Syarikat. Pengarah Jake Schreier menyatakan, “Marvel mencabar kami untuk menangkap sebanyak mungkin babak secara praktikal dan nyata. Pendekatan ini bukan sahaja menjadikan penceritaan lebih imersif, tetapi turut memperkukuh dimensi emosi dalam filem ini.”
Dengan pendekatan baharu ini, Thunderbolts menawarkan pengalaman sinematik yang lebih dekat, mendalam, dan menyentuh emosi kepada para penonton.